Thursday, October 28, 2010

Asas menjadi seorang pemancing

Menjadi seorang pemancing tidaklah sukar. Apa yang penting kita perlu ada asas untuk menjadi seorang pemancing. Apakah asas-asas yang diperlukan untuk menjadi seorang pemancing, akan saya terangkan nanti. Apa yang ingin disampaikan disini adalah berdasarkan pengetahuan dan pengelaman saya sendiri. Adakah saya pemancing? Ya! saya memang seorang pemancing kerana saya mempunyai peralatan untuk memancing, mempunyai rakan yang juga pemancing dan apa yang penting saya pergi memancing.

Jadi, apa yang akan diterangkan disini adalah untuk menjadi pemancing. Bukannya menjadi nelayan atau pun seorang pemburu ikan. Nelayan adalah adalah golongan yang menangkap ikan untuk menyara hidup yakni mata pencariannya. Manakala pula pemburu ikan dikata sebagai golangan yang mensasarkan sesuatu species bagi mencapai kepuasan dalam memancing ikan. Golongan ini tidak ramai sebagai contoh pemburu kelah atau pun pemburu toman bagi air tawar dan pemburu mersuji atau gerepoh bagi air masin.

Di sini disenaraikan asas-asas untuk menjadi seorang pemancing.

1. Kenal seorang pemancing
Anda perlu kenal dengan seorang pemancing. Tidak kisahlah siapa dia sama ada rakan pejabat anda, rakan kuliah anda, rakan sekolah anda, ibu, bapa, adik beradik atau sesiapa sahaja yang anda kenal. Apa yang penting beliau mestilah seorang pemancing. Bukan seseorang yang hanya baru hendak mula menjadi pemancing yakni seseorang yang baru pergi memancing sekali dua sahaja.

2. Mengikut pemancing tersebut pergi memancing 
Apabila sudah mendapatkan rakan yang juga seorang pemancing, cuba ikut beliau pergi memancing. Tidak semestinya anda memancing, yang diperlukan adalah anda dapat ikut beliau ke tempat pancingan. Dari sini anda akan mula mengenali dunia pancingan. Anda perlu melihat gelagat pemancing, berinteraksi dengan mereka (tapi harus diingat, jangan mengganggu kerana ada pemancing tidak suka diganggu) dan selami diri anda serta bertanya pada diri sendiri adakah anda benar-benar ingin menjadi pemancing. Pada ketika ini jika anda bernasib baik mungkin rakan anda membawa joran lebih. Ditambah pula beliau mempelawa anda mengguna jorannya dan memancing bersama-sama. Minta tunjuk ajar dari beliau dan jangan buat pandai-pandai sendiri.

3. Mengikut pemancing ke kedai pancing
Katakan kepada rakan anda itu jika beliau hendak pergi membeli peralatan pancing, anda ingin ikut. Di kedai pancing anda boleh melihat pelbagai peralatan yang dijual bagi tujuan aktiviti memancing. Dari sini bolehlah anda mengenali beberapa jenis peralatan yang diperlukan untuk memancing. Biasanya seorang pemancing akan berada lama di kedai pancing hatta beliau hanyalah pergi ke kedai pancing untuk membeli mata kail sahaja. Peluang ini harus anda gunakan untuk bertanya tentang peralatan yang biasa diguna atau pun dibeli oleh beliau. Bolehlah anda bertanya tentang joran, kekili dan sebagainya.

4. Membeli peralatan memancing
Sebelum ini anda telah pergi ke kedai pancing, jadi anda boleh mengagak berapakah peruntukan untuk memiliki set memancing beserta aksesorinya secara asas. Jadi, perlulah anda bersedia dengan sejumlah wang untuk memiliki set pancingan anda yang pertama. Apabila wang sudah tersedia maka ajaklah rakan anda menemani anda ke kedai pancing yang mana beliau telah biasa. Peringatan! Jangan pergi sendirian. Apabila rakan anda bersedia untuk menemani anda barulah pergi ke kedai pancing. Satu lagi cara, tunggu pada masa beliau ingin ke kedai pancing,. Maka anda ikutlah beliau dan teruskan niat anda untuk memiliki set peralatan memancing.

5. Mula memancing
Sudah ada peralatan memancing tentu anda akan merasa ingin pergi memancing. Berbincanglah dengan rakan anda dengan bertanya bilakah trip memancing yang akan datang. Jangan terlalu mendesak untuk pergi memancing. Seboleh-bolehnya ikut sahaja perancangan rakan anda. Peringatan! Anda dinasihatkan tidak pergi memancing sendirian pada peringkat ini. Apabila sudah diketahui tarikh dan lapangan pancingannya maka bolehlah anda bersama-sama rakan anda membuat persiapan bagi tujuan tersebut. Disini anda akan mula merasai keterujaan menjadi seorang pemancing. Itu belum lagi sampai di lapangan pancingan, menerima sentapan ikan, mendaratkan ikan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pada peringkat ini secara asasnya anda adalah seorang pemancing.

Begitulah serba sedikit asas untuk menjadi seorang pemancing. Apa yang saya tuliskan di atas adalah sebagai panduan asas bagi seseorang yang ingin menjadi pemancing. Untuk menjadi seorang pemancing yang sebenar-benarnya banyak lagi yang harus dilalui. Daripada asas yang saya tunjukkan diharapkan dapatlah anda berkembang menjadi seorang pemancing yang sebenar. Ini adalah titik permulaan, anda sendiri yang akan memutuskan sama ada anda akan terus menjadi pemancing yang sejati atau pun hanyalah sekadar pemancing di pinggiran. Mana tahu daripada asas ini, suatu hari nanti anda akan naik taraf dari pemancing menjadi seorang pemburu  ikan. Apa yang lebih membanggakan apabila anda menjadi seorang pemancing profasional dimana anda dibayar untuk memancing. Jauh lagi perjalanan itu. Kita tumpukan pada asasnya dahulu buat masa ini.

Diharapkan penulisan ini dapat memberikan sedikit pengetahuan kepada anda yang ingin menjadi pemancing. Tetapi harus diingat bahawa anda bukan lagi kaki pancing, anda hanya pemancing (itu pun secara asasnya sahaja). Untuk mengetahui bagaimana menjadi pemancing yang sejati dan juga mengetahui ciri-ciri kaki pancing, tunggu penulisan saya pada masa akan datang. InsyaAllah, andai umur masih ada dan masih mampu, saya akan menulis lagi.

No comments:

Post a Comment